Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed bercakap kepada media mengenai kejayaan pihak polis dalam rampasan dadah jenis syabu seberat 378 kilogram anggaran bernilai RM13.4 juta ketika di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 08 DISEMBER 2022.

SHAH ALAM – Seramai 135 individu ditahan di Selangor antara 19 November hingga semalam kerana bertaruh keputusan perlawanan bola sepak Piala Dunia Qatar 2022.

Daripada 119 serbuan yang dilakukan dalam Op Soga itu, seramai 128 adalah warga tempatan manakala balik sembilan individu adalah warga asing.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, tangkapan itu membawa kepada rampasan enam buah komputer, tiga komputer riba, 193 telefon bimbit dan wang tunai lebih RM264,000 yang digunakan bagi tujuan pertaruhan tersebut.

Ujarnya, setakat ini seramai 29 individu yang disiasat telah dituduh di mahkamah dengan 87 kertas siasatan masih lagi disiasat dan tiga diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

“Modus operandi mereka adalah bergerak secara individu dengan pertaruhan dilakukan secara elektronik atau atas talian termasuk menggunakan kad kredit,” katanya pada sidang media di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Sementara itu, Arjunaidi tidak menolak kemungkinan sindiket pertaruhan itu melibatkan warga asing terutama mereka yang menjadi bookie. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast