MACC logo Seri Iskandar airport land sales Perak
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pihaknya telah membuka satu kertas siasatan berhubung dakwaan beberapa pihak berkaitan penyelewengan wang perbelanjaan negara berjumlah RM600 bilion.

Menurut badan siasatan itu, pihaknya akan menjalankan siasatan secara terperinci, telus dan profesional daripada semua sudut berkaitan isu ini.

“Sehubungan itu, mana-mana pihak yang mempunyai apa-apa maklumat, bukti atau dokumen yang berkaitan diminta untuk tampil ke pejabat SPRM terdekat untuk menyerahkan maklumat tersebut.

“Sekiranya perlu, SPRM juga boleh menghantar pegawai untuk mengambil maklumat atau dokumen tersebut,” kata SPRM dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara sama namun tidak memperincikan butiran lanjut mengenai siasatan terbabit.

Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik Covid-19 pernah dibangkitkan oleh bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari pada 15 November lalu.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada agensi berkaitan untuk menyiasat isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.

Menurut Anwar, Kementerian Kewangan telah memaklumkan beberapa pelanggaran melibatkan isu itu.

Bekas Perdana, Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor berkata, beliau tidak takut disiasat susulan dakwaan penyelewengan dana kerajaan berjumlah RM600 bilion ketika mengetuai pentadbiran sebelum ini.

Media sebelum ini melaporkan beberapa pihak antaranya Muhyiddin Yassin; bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan memberi keterangan mengenai salah guna dana itu.

Bagaimanapun, awal pagi tadi, Tengku Zafrul berkata, beliau belum dipanggil SPRM untuk memberi keterangan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kpd rakyat ianya bukan isu sangat, kalau adapun mungkin kelemahan dlm good governance issue sahaja, ini adalah pandangan org awam sahaja. Rakyat sudah bijak menilai, isu ini tak terkesan pun di P Serai.

Comments are closed.