Sim Chon Siang memulakan tugas sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Pahang dengan mengimbas cap jari di mesin pengimbas waktu tepat jam 8.30 pagi di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

KUANTAN – Ahli Dewan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang memulakan tugas sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Pahang dengan mengimbas cap jari di mesin pengimbas waktu pada jam 8.30 pagi di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Beliau tiba di lobi blok B, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang pada pukul 8.25 pagi sebelum mengimbas jari pada alat perakam waktu di bangunan berkenaan tepat pukul 8.30 pagi.

Wakil rakyat daripada Pakatan Harapan (PH) tersebut memilih untuk melapor diri hari ini meski belum ada pengagihan portfolio dalam kalangan sepuluh Exco Kerajaan Negeri yang baru mengangkat sumpah baru-baru ini.

“Sebagai orang baru dalam kerajaan, ada perasaan berdebar-debar sedikit. Ada takut-takut sikit.

“Kenapa hari ini, sebab sebelum ini ada pilihan raya di Tioman, lepas tu semalam ada (majlis) di Istana Abu Bakar, memang tiada masa. Hari ini baru ada masa. Baru datang untuk melapor diri,” katanya sambil tersenyum.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Sim Chon Siang

Diminta mengulas berkenaan portfolio yang mungkin ditugaskan kepadanya, Sim berharap Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mempertimbang portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Kalau saya, saya cenderung kepada Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Jadi saya rasa tu yang paling sesuai untuk saya. Kita belum berbincang. Jangan bagi saya jaga ayam, kambing, lembu, matilah saya,” ulasnya sambil berseloroh.

“Saya tak tahu.Sama juga kalau jaga kesihatan, kurang pengetahuan berkenaan itu. Harap tugasan yang mempunyai manfaat dan sesuai dengan kepakaran saya,” tambah Sim.

Beliau mengakui agak janggal dengan perubahan yang bakal dilalui apabila bertugas dalam kerajaan negeri, namun akan tetap menggalas amanah yang diberikan demi rakyat.

“Memang pelik bila perlu bekerjasama (BN-PH) tapi demi rakyat saya yakin kita boleh bercampur dengan baik dan membela nasib rakyat negeri ini.

“Saya ingat bagi ‘Sim’ ni sama sahaja. Exco tak Exco dia kerja. Mungkin kena tambah pembantu ramai sikit untuk membantu rakyat di Kuantan dan di Pahang. Dulu jaga Kuantan, senang. Tapi sekarang kita jaga satu Pahang, saya ingat kita tunggu lah ada cabaran buat saya,” tambah Sim. – MalaysiaGazette