KUALA LUMPUR – Pengacara dan pelakon, Sherry Alhadad mengumumkan tabung kutipan kecemasan Nad Zainal dihentikan dengan jumlah terkumpul RM43,987.50.
Melalui hantaran Instagram Story (IGs), Sherry memberitahu sumbangan sudah disalurkan kepada akaun bapa Nad, Zainal Abidin, 63.
Nad kini masih dirawat akibat paru-paru berdarah di sebuah hospital swasta hampir tiga minggu lalu.
“Salam semua, mewakili ibu bapa Nad, kami ucapkan berbanyak terima kasih atas sumbangan daripada rakan industri yang menghulurkan bantuan ketika sahabat kita memerlukan.
“Sumbangan sebanyak RM43,987.50 sudah disalurkan kepada ayah Nad untuk urusan pembayaran bil hospital,” tulisnya.
Tambah Sherry, dengan itu tabung bantuan untuk Nad yang disalur ke akaun The Thespian Legacy turut dihentikan.
“Terima kasih kepada semua atas doa dan sumbangan kepada sahabat kita.
“Semoga semua usaha kita dipermudahkan dan semoga sahabat kita kembali sihat,” katanya.
Sementara itu, sehingga kini, tiada perkembangan terkini mengenai Nad selepas pelakon Cina Buta itu ditidurkan semula pada 2 Disember lalu berikutan paru-paru belum stabil. – MalaysiaGazette