KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta memberi keutamaan terhadap usaha menangani isu kenaikan mendadak harga telur dan simen di pasaran ketika ini.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pada masa ini rakyat resah, kecewa dan marah dengan masalah kekurangan bekalan serta lonjakan harga telur dan simen.
Menurut beliau, dua isu tersebut bukan baru bermula semalam dan sesiapa pun yang menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlu menyelesaikannya terlebih dahulu.
“Rakyat berdepan dengan isu kekurangan bekalan telur dan harganya melambung. Harga makanan menggunakan telur pun ikut naik. Contohnya laporan berita mengatakan harga roti canai telur naik dari RM2.50 ke RM3.20. Naik 70 sen.
“Simen pula melonjak 30 peratus iaitu daripada RM17 bagi setiap beg 50kg, sekarang naik sehingga RM22.50. Jika simen naik harga, semua bahan binaan melibatkan simen akan turut naik. Padahal, simen adalah Barangan Kawalan Berjadual yang tak sepatutnya naik,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.
Isnin lalu, Anwar menegur tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary kerana memonopoli import beras di negara ini.
Anwar turut mengumumkan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu akan mengambil langkah bagi menurunkan harga telur termasuk mengurangkan kebergantungan kepada kartel.
Wan Saiful mendakwa, kenaikan harga telur dan simen adalah disebabkan oleh monopoli dan permainan licik tauke-tauke kaya yang menguasai industri makanan dan pembinaan.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu memberitahu, yang jadi mangsa ialah rakyat dan kontraktor terutamanya kontraktor kecil.
“Telur dan simen sepatutnya menjadi keutamaan Anwar. Tapi Anwar utamakan beras.
“Ya harga beras penting, tapi kenapa masih tak ada idea bagaimana nak selesaikan masalah harga telur dan simen yang lebih mendesak sekarang?” soalnya.
Wan Saiful berkata, kerajaan sepatutnya tahu apa yang perlu diberi keutamaan dan tidak boleh lagi bermentaliti pembangkang populis.
“Inilah bahana jika terlalu banyak wayang populis tapi sebenarnya tong kosong saja. Berlakulah salah keutamaan,” jelasnya.
Beliau juga bertanya sama ada Anwar akan menegur tauke-tauke kaya tertentu dalam industri berkaitan telur dan simen.
Pada masa yang sama, Wan Saiful bersetuju supaya monopoli dihapuskan namun kerajaan tidak sepatutnya mengamalkan sikap pilih bulu dalam menegur pemain-pemain industri.
“Wahai Pak Syeikh, itu belum lagi saya tanya mengenai harga minyak. Berapa kali esok yang Pak Syeikh perlukan untuk turun harga minyak?” soalnya. – MalaysiaGazette