Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution diberikan taklimat semasa mengadakan Lawatan Kerja di Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 09 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) meluluskan permohonan 373,459 pekerja asing untuk dibawa masuk ke negara ini melalui Visa Dengan Rujukan (VDR) bermula sejak Januari sehingga 4 Disember lalu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, angka tersebut adalah daripada keseluruhan 403,869 permohonan yang diterima menerusi permohonan majikan.

“Kelulusan membawa masuk pekerja asing melalui Visa Dengan Rujukan (VDR) adalah sebanyak 373,459 manakala baki sebanyak 30,410 sedang diproses dan akan dipertimbang untuk kelulusan dalam masa tujuh hari bekerja.

“Daripada jumlah yang diluluskan, hanya 254,677 orang pekerja asing atau 68 peratus sahaja yang telah dibawa masuk ke negara ini untuk bekerja,” katanya dalam sidang media selepas lawatan kerja di Ibu Pejabat JIM, Putrajaya di sini hari ini.

Saifuddin menambah, jumlah pekerja asing semasa yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) seramai 1,391,624 sehingga 30 November lalu.

Pecahan jumlah ini mengikut sektor terlibat antaranya perkilangan (510,507), pembinaan (308,886), perladangan (160,728) dan perkhidmatan (208,425).

Ia diikuti sektor pertanian (110,598), pembantu rumah asing (92,338) serta perlombongan dan pengkuarian (142), katanya.

Saifuddin turut memberitahu, JIM komited dan menjadikan teras untuk mempermudahkan prosedur dan sekiranya ada elemen untuk penambahbaikan. – MalaysiaGazette