Takaful Malaysia Agrobank
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah (empat kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal (dua kanan) bergambar kenangan pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Takaful Malaysia dan Agrobank di Pullman Hotel, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 09 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad dan anak syarikatnya, Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad memeterai perjanjian perkongsian strategik bancatakaful bersama Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank) di sini, hari ini.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) perkongsian strategik tersebut disaksikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu.

Perkongsian strategik selama lima tahun mulai 1 Disember lalu hingga 31 Disember 2027 itu bakal memberi Takaful Malaysia akses kepada pangkalan pelanggan, rangkaian cawangan dan tenaga jualan Agrobank.

Pada masa yang sama, Agrobank akan dapat memperluaskan rangkaian produk takaful Malaysia untuk memenuhi keperluan perlindungan dan nilai yang lebih tinggi untuk pelanggannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia Keluarga, Nor Azman Zainal berkata, perkongsian strategik itu akan memberi akses kepada pelanggan Agrobank keselamatan kewangan yang lebih baik melalui produk takaful am dan keluarga berkaitan kredit yang komprehensif dan mampu milik.

Menurut beliau, kerjasama dengan Agrobank adalah bertepatan dengan masanya untuk memperkukuhkan portfolio bancatakaful sebagai salah satu pemacu perniagaan utama dengan mengenal pasti peluang pasaran untuk mengekalkan kedudukan kukuh Takaful Malaysia dalam industri takaful.

“Kami juga memperuntukkan RM1 juta setiap tahun sepanjang perkongsian bancatakaful ini untuk pelanggan Agrobank yang merupakan asnaf atau penerima zakat, selaras dengan falsafah korporat kami untuk memperbaiki kehidupan dan menyumbang ke arah masyarakat penyayang,” katanya.

Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin (kiri) bersama Nor Azman Zainal (kanan) menandatangani MoU antara Takaful Malaysia dan Agrobank di Kuala Lumpur, hari ini
Sementara itu, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, usahasama itu membuka akses yang lebih luas kepada Agrobank untuk mengubah dan memperoleh pencapaian baharu di bawah segmen takaful untk menyalurkan perkhidmatan yang lebih berkesan kepada kumpulan sasaran.

Beliau menambah, usahasama tersebut akan menyediakan penyelesaian takaful kepada semua pelanggan Agrobank dengan sasaran untuk membangunkan sekurang-kurangnya dua produk takaful (perlindungan) setiap tahun bagi memenuhi keperluan komuniti perniagaan dalam sektor pertanian.

“Sebagai tambahan kepada pelan perlindungan tersebut, produk takaful khusus seperti pelan rancangan persaraan, pendidikan dan perubatan mampu milik akan diperkenalkan kepada agropreneur daripada komuniti terpinggir dan tidak mendapat liputan seperti kumpulan B40, asnaf, wanita dan orang kurang upaya (OKU),” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Strategi Agrobank, Mohamad Taufik Mahamad Zakaria berkata, perkongsian strategik itu membolehkan takaful ditawarkan pada harga serendah RM10.60 khusus untuk komuniti pertanian.

Beliau memberitahu, pihaknya menyasarkan nilai perlindungan sekurang-kurangnya RM466 juta untuk sektor pertanian dapat dicapai sepanjang tempoh lima tahun akan datang.

Majlis menandatangani MoU itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid; Pengerusi Takaful Malaysia Keluarga, Datuk Mohammed Hussein; Ahli Lembaga Pengarah Agrobank, Ibrahim Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia Am, Mohamed Sabri Ramli. – MalaysiaGazette