Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kalendar Akademik bagi sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan bagi sesi 2023/2024 akan bermula pada 19 Mac 2023 hingga 9 Mac 2024 bagi sekolah di negeri Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan pada 20 Mac 2023 hingga 10 Mac 2024 untuk Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berkata, ia membuat ketetapan untuk menangguhkan pembukaan sekolah bagi sesi persekolahan Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 yang dijadualkan bermula pada 12 Mac 2023 bagi Kumpulan A dan 13 Mac 2023 bagi Kumpulan B supaya pengoperasian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dapat dilaksanakan dengan lancar.

Sesi persekolahan bagi Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 dikekalkan pada bulan Mac 2023 untuk memastikan KPM mematuhi Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penggal, Hari dan Cuti Sekolah) 1998 (Pindaan) 2021 yang menetapkan jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik hendaklah tidak kurang daripada 190 hari.

KPM juga mengambil maklum cadangan daripada beberapa pihak untuk mengembalikan permulaan sesi persekolahan kepada bulan Januari.

”KPM berpandangan perkara ini boleh dilaksanakan dengan memendekkan cuti persekolahan secara berperingkat bermula daripada tahun 2023 sehingga 2026 dengan pematuhan kepada jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik.

”Namun, mengambil kira kebajikan para guru, murid dan kesan kepada ekonomi negara, KPM mengambil keputusan untuk menangguhkan cadangan ini bagi meminimakan impak kepada pihak-pihak berkaitan,” katanya.

Tambah KPM, ia juga mengambil kira pelbagai pandangan yang diterima daripada pemegang taruh untuk mengelakkan peperiksaan SPM diadakan pada bulan November dan Disember kerana bertembung dengan musim tengkujuh.

Pelaksanaan peperiksaan SPM dalam musim tengkujuh boleh menimbulkan tekanan bukan sahaja bagi guru dan petugas peperiksaan, malah kepada murid dan ibu bapa yang terlibat.

Apabila SPM diadakan pada Februari atau Mac, tempoh menunggu untuk calon terbabit bagi kemasukan ke universiti juga akan lebih pendek
berbanding sebelum ini.

Walau bagaimanapun, KPM sentiasa melihat kepada keperluan dan kesesuaian penyediaan kalendar akademik untuk tahun seterusnya
bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara optimum.

Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 boleh di muat turun melalui laman sesawang KPM di pautan https//www.moe.gov.my/takwim. – MalaysiaGazette