ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Negeri Johor bersetuju menaikkan elaun sebanyak RM300 sebulan kepada ketua kampung dan ketua masyarakat daripada RM900 kepada RM1,200 sebulan.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pertimbangan itu bagi meningkatkan profesionalisme institusi pimpinan peringkat komuniti berkenaan.
Inisiatif itu bagi menghargai kepimpinan dan peranan institusi akar umbi yang berkhidmat siang dan malam bagi membantu masyarakat setempat.
“Sukacita saya umumkan bahawa kerajaan negeri bersetuju untuk menaikkan elaun sebanyak RM300 sebulan kepada ketua kampung dan ketua masyarakat daripada RM900 kepada RM1,200 sebulan.
“Di samping itu, kerajaan negeri juga berharap agar Kerajaan Persekutuan akan turut menyambut baik inisiatif itu dan sekurang-kurangnya RM300 lagi bagi menjadikan elaun ketua kampung dan ketua masyarakat meningkat kepada RM1,500 sebulan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar hari ini.
Pada Februari 2019, bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian pernah mengumumkan khabar gembira kepada 667 ketua kampung apabila bersetuju menaikkan kadar elaun sebanyak RM200 sebulan.
Osman dilaporkan berkata, pertambahan itu menjadikan kadar elaun diterima ketua kampung sebanyak RM900 sebulan berbanding RM700 sebelum itu.
Dalam pada itu, Onn Hafiz turut memberitahu, kerajaan negeri juga akan mengkaji dan mempertimbangkan cadangan kenaikan elaun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, saya yakin dan percaya rakan-rakan ADUN memahami dan bersetuju untuk kita memberikan keutamaan kepada rakyat terlebih dahulu buat masa ini.
“Insya-Allah bagaimanapun setelah keadaan pulih dan hasil negeri juga meningkat, kerajaan negeri akan mengkaji semula dan mempertimbangkan cadangan ini,” ujarnya. -MalaysiaGazette