Gambar hiasan

GOMBAK – Seorang lelaki warga tempatan telah ditahan polis pada Jumaat lalu selepas disyaki mengugut untuk menyebarkan gambar lucah bekas kekasihnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek yang juga seorang ikon permotoran tempatan.

“Suspek telah ditahan di sekitar Gombak bagi membantu siasatan selepas polis menerima laporan daripada pihak mangsa. Dalam laporan itu mangsa menyatakan dia telah diugut suspek akan menyebarkan gambar lucah mangsa yang dimilikinya,” katanya.

Suspek telah direman selama empat hari bermula semalam sehingga 13 Disember ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan.

Noor Ariffin berkata, siasatan sedang dijalankan oleh polis di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya. – MalaysiaGazette