LANGKAWI – Menjadi pengkarya paling muda di program Langkawi International Marble Art Camp 2022
(LAIN MACAM 2022) tidak menghalang Ain Rahman untuk menghasilkan arca menarik setaraf tujuh lagi peserta tempatan dan luar negara.
Wanita berkelulusan Sarjana Seni Halus dan Teknologi yang berusia 28 tahun itu kelihatan tidak canggung berkarya bersama-sama seniman yang lebih berpengalaman daripadanya.
Berkongsi bagaimana beliau memulakan karier sebagai pengarca lima tahun yang lalu, Ain menjadi mendedahkan dirinya menjadi antara minoriti dalam kalangan rakan-rakan seperjuangannya di universiti yang meneruskan minat unik berkenaan.
“Sebenarnya selepas tamatkan pengajian, tidak ramai dalam kalangan rakan-rakan saya teruskan berkarya seni halus ni, apatah lagi perempuan tapi saya minat dan saya dapat sokongan pensyarah dalam kerjaya saya.
“Saya mula sertai pameran-pameran kecil selepas tamat belajar pada 2017 dan ini pertama kali saya sertai program yang dianjurkan oleh Balai Seni Negara,” katanya kepada MalaysiaGazette semalam.
Kata Ain, minat mendalam terhadap penghasilan arca lebih tertumpu kepada hasil-hasil berbentuk geometrik.
Tambahnya, pada LAIN MACAM kali ini beliau masih membawa idea geometrik diiringi dengan konsep Langkawi yang dianggap sebagai pulau penuh dengan tarikan tersembunyi dan luar jangka daripada pelancong luar negara.
“Arca ini membawa identiti Ain, termotivasi seperti permata dan Pulau Langkawi dan juga anak panah sebagai simbolik arah. Bermaksud, Langkawi berharga seperti permata, banyak benda menarik tersembunyi di sini dari luar pandangannya lain berbanding berada di pulau ini,” ujarnya.
Ain menimba banyak pengetahuan baharu khususnya dari aspek strategi penghasilan arca menggunakan material batu pualam.
“Sebelum ini arca saya daripada material besi jadi kaedahnya lain daripada guna batu pualam. Ini pertama kali saya hasilkan arca dengan batu, ini perkara baharu yang saya belajar dengan material baharu, cabarannya juga baru, kena perlahan-lahan, ada teknik tersendiri,”katanya lagi.
Dalam pada itu, seorang lagi pengkarya yang menyertai LAIN MACAM tahun ini, I Wayan Upadana dari Bali, Indonesia berkata, ideanya menghasilkan arca bertajuk Monument of Hope (Monumen Harapan) berbentuk muka terhasil daripada sejarah di sebalik Langkawi iaitu lagenda Mahsuri.
“Sebelum ke sini saya membuat kajian tentang Langkawi, saya baca sejarah di sebaliknya lagenda Mahsuri. Selepas itu tercetus idea daripada Sumpahan Mahsuri, saya cipta arca ini dinamakan Monumen Harapan sebab kita manusia mempunyai harapan walaupun kehidupan kita banyak masa lalu,” katanya.
I Wayan berkata, berkarya di negara luar akan menambah lagi ilmu pengetahuan selepas berinteraksi dengan rakan-rakan baharu dalam masa yang sama dapat menimba kemahiran baharu.
“Saya tertarik dengan tempat yang baru, dan Langkawi ternyata tempat yang menarik, batu pualam ini pun batu yang sangat baik dijadikan hasil arca. Saya mahu tambah dan timba lebih pengalaman dengan menghasilkan arca di negara lain,” katanya.
Meskipun sudah berkecimpung dalam dunia karya arca selama 20 tahun namun beliau berpendirian idea perlu terus dikembangkan dengan kajian, pembacaan secara mendalam serta mencuba kemahiran baharu setiap masa.
“Saya selama ini tidak terikat dengan satu material sahaja untuk menghasilkan arca ada kalanya saya hasilkan arca daripada gabungan material seperti kayu, batu venner (marmar).
“Menghasilkan arca ini bermula daripada cetusan idea dan daripada situ kita akan kembangkan daripada pembacaan kaedah-kaedah menghasilkan arca,” tambah beliau.
Selain Ain dua lagi pengkarya atau pengarca tempatan yang menyertai LAIN MACAM 2022 iaitu Japson Wong dan Chew Bee (Bibi Chew).
I Wayan pula bersama dengan seorang lagi rakan seperjuangannya dari Indonesia iaitu Manuela Wijayanti.
Manakala Jehabdulloh Jehsorhoh dan Korakot Sangnoy merupakan pengarca dari Thailand manakala seorang dari Singapura iaitu Lim Soo Ngee.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: