LANGKAWI – Program Langkawi International Marble Art Camp 2022 (LAIN MACAM 2022) yang membuka tirainya pada 2 Disember lalu menggunakan konsep hari terbuka kepada pengunjung khususnya peminat karya-karya seni arca.
Diadakan di Dikaki Tower House, Gunung Raya sehingga 15 Disember ini, program berkenaan disertai lapan pengkarya atau pengarca daripada dalam dan luar negara iaitu tiga dari Malaysia, dua masing-masing dari Indonesia dan Thailand dan seorang dari Singapura.
Menariknya program pada kali ini adalah diadakan secara terbuka di lokasi pengkarya menghasilkan arca menerusi bahan asas iaitu batu pualam yang terkenal di pulau lagenda tersebut.
Dengan cara itu, menurut Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad, pengunjung akan dapat melihat sendiri dan merasai pengalaman pertama melihat para pengkarya menghasilkan arca sebelum ia disiapkan kemudian dipamerkan di Balai Seni Negara.
“Selepas sahaja karya-karya ini siap ia hanya akan jadi objek bisu peranan pengkarya adalah menyampaikan mesej, ini kaedah open studio.
“Hari terbuka sebegini berikan satu pengalaman pertama kepada masyarakat dan peminat seni sebegini tahu apa tujuan pengkarya hasilkan arca tertentu apa niatnya.
“Di sini akan terus dapat tanya kepada pengkarya terus dapat maklumat dan boleh bertemu sendiri dengan pengkarya dan berinteraksi dengan mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette di Majlis Perasmian LAIN MACAM 2022 semalam.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohd Yusri Mohd Yusoff.
Jelas Amerrudin, pemilihan tempat yang terbuka di sekeliling kawasan yang nyaman satu keunikan dan kelebihan untuk para seniman arca berkarya.
“Konsep bekerja di lokasi dengan persekitaran alam semula jadi berkompromi bukan sahaja bahan, persekitaran tetapi juga elemen alam ini pendekatan supaya kita sedar bukan hasilkan arca dalam satu ruang tertutup.
“Ssebagai manusia kita akan semakin terbuka tanggungjawab kepada alam dan komuniti,” tambah beliau.
Mengulas lanjut, beliau berkata, matlamat program ini adalah untuk mengumpulkan pengkarya atau seniman arca di Asia Tenggara untuk berkongsi ilmu dengan komuniti dan masyarakat setempat yang mempunyai minat yang sama.
“Dengan cara ini masing-masing dapat menimba ilmu tentang cara hasilkan arca dengan kemahiran dan cara tertentu, juga kaedah mengolah idea yang mungkin berbeza.
“Kita harap ini akan dapat membantu komuniti setempat menajamkan kemahiran mereka dan secara tidak langsung mungkin mereka dapat menjana pendapatan daripada unsur kreatif,” tambahnya.
Sementara itu, Pengarah Balai Seni Negara Langkawi, Muhammad Hazrin Abdul Malek @ Moktar berkata, kesemua lapan pengkarya arca yang menyertai program LAIN MACAM 2022 dibantu oleh artis yang juga mempunyai bakal besar dalam menghasilkan seni daripada pelbagai material.
Ujarnya lagi, keterbukaan pada kali ini adalah apabila pengkarya boleh menggunakan material lain sebagai campuran untuk menghasilkan hasil seni mereka dengan Batu Pualam sebagai bahan asas.
Dengan konsep santai diiringi dengan aktiviti menarik antaranya Bazar Seni, Demonstrasi Seni, aktiviti memanah, demonstrasi papan luncur dan persembahan seni, beliau berharap program LAIN MACAM 2022 akan dapat mengurangkan jurang di antara masyarakat dengan seniman arca.
“Memberi satu pendedahan dan memberi pengkarya rasa dihargai. Dalam masa yang sama kita mahu mendekatkan jurang seni dengan masyarakat,” katanya.
Terdahulu, Muhammad Hazrin menjangkakan program yang berlangsung selama 14 hari itu akan menerima lebih kurang 1,000 pengunjung.
Pada edisi kali ini, LAIN MACAM telah mendapat tajaan daripada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Galeria Perdana Langkawi, Langkawi Tourist Information Centre, dan Kompleks Kraf Langkawi selain kerjasama daripada TentuHala Kolektif, Dikaki Tower House serta Hikari Riders. – MalaysiaGazette