JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima menghadap Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub di sini hari ini.
Pertemuan berlangsung kira-kira sejam itu merupakan kunjungan hormat pertama beliau kepada Tuanku Sultan Ibrahim selepas pelantikan sebagai menteri Kabinet minggu lalu.
Datuk Seri Salahuddin adalah Ahli Parlimen Pulai dan juga Ahli Dewan Negeri Johor bagi kawasan Simpang Jeram.
Sementara itu, Salahuddin yang ditemui berkata, dalam pertemuan itu, Sultan Ibrahim turut menasihatkannya dan mengharapkan empat lagi menteri dari negeri ini agar dapat menjalankan tanggungjawab sebaiknya.
“Alhamdulilllah pihak istana terima kunjungan saya dan perbincangan hati ke hati. Saya juga tidak menyangka pihak istana menyambut begitu baik kedatangan saya.
“Selain membincangkan isu politik baginda juga menasihat supaya empat menteri daripada Johor dapat meningkatkan ekonomi di Johor.
“Saya tidak menyangka pertemuan dua jam itu begitu santai tetapi serius melibatkan isu rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette