Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya . Foto MOHD ADZLAN, 25 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Seorang bapa disyaki membunuh dengan mendera anaknya sendiri berusia sembilan tahun sebelum menanam mangsa di tepi jalan di Taman Dusun, Jalan Bellamy di sini Jumaat lalu.

Lelaki itu menanam mayat anaknya berhampiran sebuah tempat riadah secara sembunyi sebelum dikesan oleh pihak berkuasa.

Segala-galanya terbongkar apabila isteri suspek sendiri membuat laporan polis memaklumkan anak perempuannya telah didera teruk oleh suaminya.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya mengesahkan kejadian itu berkata, pengadu seorang wanita warga asing berusia 41 tahun membuat laporan selepas mendapati anaknya dalam keadaan lemah dan darah keluar dari mulutnya sebaik pulang bekerja kira-kira pukul 7 malam di kediaman mereka di Jalan Pudu di sini pada Jumaat lalu.

Katanya, isteri suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu mendakwa suaminya ada memukul mangsa sebelum itu.

“Sebaik menerima aduan, sepasukan anggota polis bersama pengadu ke rumah suspek untuk mengambil anaknya yang ditinggalkan namun mendapati anak serta suaminya tiada di rumah.

“Berikutan itu, polis telah mempergiatkan usaha mengesan suspek berusia 40 tahun itu sebelum ditangkap di Jalan Pasar Pudu di sini pada jam lebih kurang pukul 12.30 tengah hari  semalam.

“Hasil soal siasat polis ke atas suspek yang juga seorang penganggur, dia mengaku dia telah membunuh dan menanam mayat anaknya itu di tepi jalan Taman Dusun Bandar, Jalan Bellamy di sini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Noor Delhan, suspek telah dihadapkan ke mahkamah di Jalan Duta di sini dan ditahan direman selama tujuh hari sehingga 18 Disember ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk membantu siasatan lanjut polis.

Kes berkenaan sedang disiasat oleh polis di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Noor Dellhan turut menasihati orang ramai terutama ahli keluarga atau jiran supaya sentiasa peka dan segera melaporkan sebarang kes dera yang berlaku dalam kalangan ahli keluarga atau jiran masing-masing. – MalaysiaGazette