Menteri Kesihatan , Dr Zaliha Mustafa berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kesihatan Malaysia di Kemeterian Kesihatan di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 12 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memulakan program pemberian tuala wanita secara percuma bagi menyokong usaha menangani kemiskinan haid dalam negara.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata program berkenaan akan dimulakan di Pejabat Menteri KKM sebelum diperluaskan ke kementerian-kementerian lain dan agensi yang berkaitan.

“Saya nak buat memulakan  inisiatif yang telah mendapat sambutan global dan ada juga polisi berkaitan dengannya berkaitan program yang dinamakan kemiskinan  haid.

“Saya sebagai Menteri Kesihatan Wanita pertama  rasa elok kita lakukan di KKM, saya akan mulakan pemberian tuala wanita  di tandas  pejabat menteri,” katanya ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan KKM.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Mengulas lanjut beliau berkata, sudah tiba masanya kemiskinan haid ini dimasukkan dalam polisi KKM agar dasarnya dapat dilaksanakan sekaligus membantu kaum wanita yang tidak mampu.

“Saya rasa sudah tiba masanya untuk meningkatkan perihal kemiskinan haid ini ke peringkat lebih kukuh dan polisi sebab selama ini di bawah saja dan ia hanya menerusi program-program kecil-kecilan,” tambah beliau.

Menganggap inisiatif ini sebagai permulaan, Zaliha tidak menolak untuk mencadangkan agar peruntukan pemberian  tuala percuma dimasukkan  dalam Bajet 2023.

“Boleh, kita lihat mana kita boleh tingkatkan dan tambah baik inisiatif berkaitan ini dan ia akan menjadi permulaan ke peringkat nasional,” katanya lagi.

Dalam Bajet 2022 kerajaan terdahulu mengedarkan kit asas kebersihan diri antara lain mengandungi tuala wanita  untuk diedarkan kepada 130,000 remaja wanita dari keluarga berpendapatan rendah (B40).-MalaysiaGazette