Dr Zaliha Mustafa melihat fasiliti yang terdapat di Pusat Jantung Hospital Serdang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 12 DISEMBER 2022.

SERDANG – Perkhidmatan Pusat Jantung Hospital Serdang akan dibuka pada orang ramai bermula esok dengan menyediakan pelbagai fasiliti yang lengkap untuk pesakit jantung di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, kadar bayaran yang dikenakan oleh pusat ini juga serendah RM64 bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan terutamanya golongan B40.

“Dengan adanya pusat rawatan jantung ini, lebih ramai pesakit dari seluruh negara dapat dirawat dan ramai pakar serta ahli pasukan sokongan bidang kardiologi dan pembedahan kardiotorasik daripada KKM dapat dilatih untuk memberi rawatan bertaraf dunia.

“Dengan adanya pusat jantung ini, ia dijangka dapat mempercepatkan proses rawatan pesakit dan tempoh menunggu bagi rawatan angiogram (pengimejan saluran arteri) juga boleh dipercepatkan,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Pusat Jantung Hospital Serdang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Indera Dr. Sha’ari Ngadiman.

Dr Zaliha Mustafa melihat kemudahan dan perkakasan di Pusat Jantung Hospital Serdang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 12 DISEMBER 2022.

Zaliha berkata, pusat rawatan ini dilengkapi dengan peralatan terkini yang serba canggih seperti sebuah Makmal Jantung Invasif (ICL) di Jabatan Kecemasan (ED) Yang Pertama di Malaysia.

Ujarnya, kemudahan yang ada di pusat ini setanding di negara maju yang lain.

Kemudahan ICL itu membolehkan kes-kes serangan jantung akut menerima rawatan segera dan terbaik iaitu Primary Percutaneous Coronary Intervention (PCI).

PCI merupakan prosedur intervensi bukan pembedahan dengan menggunakan kateter untuk melebarkan atau membuka pembuluh darah koroner yang menyempit dengan balon atau stent

“Pusat Jantung ini juga mempunyai sebuah dewan bedah hibrid pertama di fasiliti KKM dilengkapi dengan mesin angioplasti dan peralatan dewan bedah yang dapat memanfaatkan seramai 200 ke 250 orang pesakit setahun.

“Selain itu, pusat jantung ini juga mempunyai seunit mesin MRI 3.0 Tesla yang akan digunakan khusus untuk pengimejan diagnostik jantung,” jelasnya. – MalaysiaGazette