takaful malaysia dividen
Nor Azman Zainal

KUALA LUMPUR – Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) mengumumkan dividen interim sebanyak 13.5 sen sesaham biasa di bawah satu peringkat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember ini.

Pengumuman dividen interim itu diterjemahkan kepada hasil dividen sebanyak 3.89 peratus berdasarkan harga pasaran penutup saham Takaful Malaysia sebanyak RM3.47 hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, pengurusan nilai pemegang saham kekal sebagai kepentingan fundamental syarikatnya untuk memacu penunjuk positif.

Selain itu, menurut beliau, ia menjadi bukti daya tahan kepada pelabur berhubung kesihatan kewangan, potensi pertumbuhan dan pulangan modal Takaful Malaysia.

“Dividen interim sebanyak 13.5 sen sesaham biasa di bawah satu peringkat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember ini berbanding 12 sen pada tahun kewangan sebelumnya menunjukkan keyakinan kami terhadap pendapatan Takaful Malaysia dan dedikasi untuk mewujudkan penciptaan nilai untuk semua pihak berkepentingan kami.

“Komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk memenuhi keperluan perlindungan pelanggan dan rakan kongsi perniagaan serta inspirasi kepada kakitangan telah membolehkan kami menyampaikan nilai pemegang saham jangka panjang.

“Ini adalah sejajar dengan kedudukan Takaful Malaysia sebagai pengendali takaful terkemuka dan keupayaan kami dalam meningkatkan jualan, pendapatan dan aliran tunai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast