KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu melepasi enam ‘ujian’ untuk memastikan kerajaan campuran yang dipimpinnya dapat dipertahankan.
Veteran DAP Lim Kit Siang berkata, enam ujian tersebut perlu dihadapi Anwar dalam tahun pertama memegang jawatan sebagai perdana menteri.
Ujian pertama Anwar adalah memilih Yang Dipertuan Dewan Rakyat baharu pada 19 Disember ini.
Anwar kemudian akan berhadapan dengan undi percaya yang akan dibuat ke atas beliau pada 20 Disember.
Bekas pemimpin utama DAP itu berkata, Perhimpunan Agung UMNO pada 11 hingga 14 Januari depan juga akan menjadi satu ujian terhadap Anwar apabila pemilihan parti itu berlangsung.
Anwar juga berhadapan dengan ujian terhadap undi Usul Terima Kasih di Parlimen atas Titah Ucapan Diraja pada Pembukaan Parlimen.
Selain itu undi kelulusan Bajet 2023 juga akan menjadi ujian terhadap Presiden PKR itu sama ada beliau diterima sebagai perdana menteri atau tidak.
“Persoalan yang paling penting dalam fikiran rakyat Malaysia ialah sama ada kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim akan bertahan lima tahun,” kata Kit Siang.
Tambah beliau, jika kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim dapat mengharungi lima ujian tersebut Anwar akan berhadapan dengan ujian keenam.
Ujian tersebut berbentuk pilihan raya umum di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Kata Kit Siang, Perikatan Nasional (PN) akan melakukan apa sahaja untuk meraih keuntungan di enam pilihan raya itu bagi menggulingkan kerajaan yang diterajui Anwar.
“Malah, Pengerusi PN Negeri Sembilan telah mengisytiharkan bahawa PN Negeri Sembilan menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 19 daripada 36 kerusi DUN bagi membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan negeri,” katanya.
Justeru katanya, Pakatan Harapan tidak boleh mengambil mudah ancaman PN, sama ada di Negeri Sembilan atau lima negeri lain.
PH menurut Kit Siang, harus merangka program untuk memastikan parti itu tidak kehilangan kerusi kepada PN.
Tegasnya, PH boleh melakukan lebih baik di enam negeri terbabit berbanding prestasinya pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.-MalaysiaGazette
sudah TERANG LAGI BERSULUH……DAPIGS sebagai PENASIHAT ANWAR ++==ZAHID