TEMERLOH – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mempunyai kuasa menasihati dan mengarahkan mangsa banjir yang terkesan untuk segera berpindah ke Pusat Penempatan Sementara (PPS).
Menteri Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkara tersebut termaktub berdasarkan Seksyen 4C (1) Akta Pertahanan Awam Malaysia 1952 (Akta 221).
Jelas Armizan, penduduk yang berada di lokasi terjejas banjir dinasihatkan untuk menjaga keselamatan dan tidak bertangguh ke PPS sekiranya menerima arahan daripada pihak berwajib bagi mengelak berlakunya sebarang kejadian tidak diingini.
“Berdasarkan Seksyen 4C (1) Akta Pertahanan Awam Malaysia 1952 (Akta 221), APM mempunyai kuasa bagi mewajibkan penduduk yang terjejas dengan banjir untuk berpindah ke PPS.
“Masyarakat turut diingatkan sentiasa peka dan patuh kepada arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan segera berpindah sekiranya diarahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media sejurus meninjau dan menyatuni mangsa 339 mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Semantan, dekat Mentakab, Temerloh hari ini.
Sehingga kini, seramai 2,800 mangsa banjir daripada 849 keluarga ditempatkan di 23 PPS yang dibuka di lima buah negeri iaitu Pahang, Terengganu, Perak Johor dan Kelantan.
Daripada jumlah itu tiga daerah yang terkesan di Pahang pula membabitkan daerah Pekan, Temerloh, dan Bera membabitkan 442 mangsa daripada 129 keluarga masih berlindung di empat buah PPS di negeri ini.
Hadir sama Pengarah APM Pahang Che Adam A. Rahman dan Pegawai Daerah Temerloh Datuk Ali Syahbanar Sabaruddin. – MalaysiaGazette