KUALA LUMPUR – Dua rakan maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 27.7, susur ke Jalan Puchong dari Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan nahas jalan raya itu daripada orang awam jam lebih kurang pukul 3.50 pagi.
“Bertindak atas panggilan itu, pegawai dan anggota kami telah bergegas ke lokasi nahas. Pemerhatian di tempat kejadian mendapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish dan dua mangsa lelaki tempatan.
“Semasa kejadian kenderaan yang dinaiki dua rakan itu dalam perjalanan dari Subang Jaya menuju ke Putrajaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Wan Azlan, kereta yang telah dipandu oleh seorang lelaki berusia 21 tahun itu disyaki hilang kawalan sebelum merempuh penghadang besi di sebelah kiri bahu jalan lebuh raya.
“Rempuhan itu mengakibatkan pemandu dan penumpangnya maut di lokasi kejadian itu sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
“Mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian mereka.
“Polis juga telah memulakan siasatan terperinci untuk mengenalpasti punca kemalangan itu berlaku,” katanya.
Kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette