Menteri Dalam Negeri Senator, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail . Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri sedang dalam proses perolehan untuk mendapatkan kamera badan yang ditempah bagi kegunaan Polis Diraja Malaysia.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perolehan kamera badan itu menelan kos RM30 juta yang telahpun diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

“Saya mengadakan perjumpaan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan difahamkan bahawa Bajet RM30 juta telahpun diluluskan bagi tujuan itu.

“Saya berharap tidak ada masalah untuk mendapatkan kamera badan itu dengan kadar segera,” katanya dalam sidang media lawatan kerja beliau ke Ibu Aman pagi tadi.

Terdahulu beliau melawat Bukit Aman bersama Timbalan Menterinya Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, turut menghadiri taklimat yang diketuai oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan pengurusan tertinggi PDRM di Menara 1, Bukit Aman hari ini.

Ditanya mengenai tempoh masa yang disasarkan KDN untuk memperolehi aset berkenaan, Saifuddin berharap proses itu dapat disegerakan memandangkan ia menjadi satu keperluan dan bajet kewangan bagi tujuan perolehan sudah diluluskan.

“Memandangkan proses perolehan ini membabitkan beberapa kementerian, saya juga difahamkan oleh KSU bahawa beliau akan mengambil tindakan lanjut ‘follow up‘ agar ia disegerakan.

“Saya juga yakin segala karenah birokrasi yang melambatkan proses perolehan kamera badan itu dapat diatasi sebaik-baiknya,” katanya. – MalaysiaGazette