Tan Sri Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib  Razak akan dipanggil minggu depan sebagai saksi pendakwaan perbicaraan penggubahan wang haram melibatkan Tan Sri Shahrir Samad Ab Samad yang dikatakan gagal mengisytiharkan pendapatan RM1 juta.

Shahrir dipercayai telah menerima wang berkenaan daripada Najib ketika menjadi Perdana Menteri.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Azmi, sepatutnya Najib sudah hadir memberi keterangan minggu ini namun pada masa sama mantan Ahli Parlimen Pekan itu sedang dibicarakan melibatkan kes 1Malaysia Develoment Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi.

Ketika prosiding, Rasyidah Murni memberitahu mahkamah Najib tidak akan dapat memberikan sebarang keterangan pada minggu ini memandangkan kes 1MDB akan berjalan sehingga Khamis depan.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin kemudian menetapkan perbicaraan kes Shahrir disambung esok bagi mendengar keterangan pegawai penyiasat.

Shahrir ketika ini sedang didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan Seksyen 113 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Beliau tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudiannya dikatakan dimasukkan ke dalam akaun banknya.

Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette