Kertas Putih Kesihatan
(Dari kanan) Khairy Jamaluddin, Dr. Dzulkefly Ahmad dan Dr. S. Subramaniam memberi pandangan sebagai ahli-ahli panel pada forum Hari Liputan Kesihatan Sejagat Malaysia 2022 di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kepimpinan baharu Kementerian Kesihatan perlu mempunyai iltizam politik bagi melaksanakan Kertas Putih Kesihatan yang dianggap penting untuk proses reformasi sistem kesihatan di negara ini.

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, banyak kajian dan perbincangan telah dilakukan oleh pentadbiran terdahulu bagi menyediakan kertas putih tersebut.

Menurut beliau, cadangan reformasi sistem kesihatan itu turut menerima sokongan daripada dua lagi bekas Menteri Kesihatan iaitu Tan Sri Dr. S. Subramaniam dan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

“Mesej hari ini kepada kepimpinan baharu di Kementerian Kesihatan adalah jangan risau, jangan gusar buat keputusan.

“Walaupun ia mungkin sangat sukar tetapi kepimpinan kementerian mempunyai sokongan daripada bekas-bekas menteri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri forum Hari Liputan Kesihatan Sejagat Malaysia 2022 di sini, hari ini.

Khairy, Dr. Subramaniam dan Dr. Dzulkefly merupakan ahli panel forum anjuran NCD Malaysia yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni.

Sementara itu, Dr. Dzulkefly berkata, dalam landskap Kerajaan Perpaduan ketika ini, Kementerian Kesihatan tidak mempunyai pilihan selain bergerak ke hadapan.

Beliau memberitahu, kemahuan politik sememangnya amat diperlukan bagi memastikan reformasi sistem kesihatan dalam dilaksanakan secepat mungkin.

“Waktunya sudah sampai untuk kita melakukan reformasi sektor kesihatan ini kerana ia akan menentukan dari segi tempoh menunggu dan pengurusan populasi.

“Semuanya adalah sangat dinantikan termasuk dalam hal pembiayaan, reformasi kesihatan digital, pencegahan kesihatan dan jagaan kesihatan primer,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dr. Subramaniam ketika memberi pandangan dalam forum tersebut berkata, adalah penting bagi mengeluarkan reformasi sistem kesihatan dari domain politik agar Kertas Putih Kesihatan dapat dilaksanakan.

Menurut beliau, langkah itu akan memastikan kesinambungan proses reformasi sistem kesihatan walaupun berlaku pertukaran menteri dan kerajaan.

“Kita telah melihat bahawa setiap kali kita mahu melakukan reformasi, proses politik menjadi halangan.

“Apabila kita mempunyai sistem yang dapat menangani isu itu, saya fikir ia dapat dilaksanakan,” katanya. – MalaysiaGazette