Saarani Mohamad

IPOH – Wakil rakyat yang telah ditauliahkan diingatkan bahawa mereka tidak dibenarkan mengadakan ceramah di masjid dan surau negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata, ia juga bagi menghormati titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berhubung garis panduan itu sebelum ini, supaya menjaga kesucian rumah ibadat beragama Islam daripada aktiviti parti politik.

“Pekeliling yang dikeluarkan jelas mengatakan tiada orang politik dibenarkan untuk berucap dalam surau atau masjid termasuk saya sendiri, Menteri Besar adalah Exco Agama Islam dan banyak kali saya dijemput untuk berucap semasa menghadiri solat Jumaat, tetapi saya berpegang dengan titah Sultan Perak dengan tidak menyampaikan ucapan,” katanya selepas menjadi tetamu pada rancangan Selamat Pagi Cikgu Saarani di stesen radio PerakFM di sini hari ini.

Saarani berkata, mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sebelum ini merupakan pemegang tauliah atau ustaz yang menyampaikan kuliah, kini adalah terikat dengan pekeliling itu termasuk Menteri Besar atau berdepan dengan tindakan penarikan semula tauliah mengajar daripada Jabatan Agama Islam Perak.

Semalam, bekas ADUN Titi Serong Hasnul Zulkarnain Abd Munaim menerusi laman Facebooknya memuat naik poster kuliah maghrib yang disampaikan oleh seorang ADUN di sebuah masjid di Kampung Seri Klebang dan memohon tindakan sewajarnya.

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata, bejet yang akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri pada minggu hadapan, antaranya menumpukan perkara berkaitan sekuriti makanan, peluang keusahawanan, perniagaan dan kebajikan rakyat, selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030.

“Selain pembangunan modal insan dan kecekapan pentadbiran kerajaan, ia juga menjurus kepada penyediaan bajet yang mencukupi bagi pentadbiran kerajaan berjalan dengan lancar dan pada masa sama, aspek-aspek kebajikan rakyat diambil kira,” katanya. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast