Seorang wanita cedera selain rumah teres dua tingkat miliknya rosak teruk akibat keletupan gas LPG dalam kejadian di Taman Sena Permai, Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini.

TASEK GELUGOR – Seorang wanita cedera selepas tong gas petroleum cecair (LPG) meletup di rumahnya di Taman Sena Permai, Pokok Sena di sini, hari ini.

Kejadian jam 8 pagi itu menyebabkan hampir keseluruhan struktur rumah teres dua tingkat itu mengalami kerosakan.

Selain itu, kereta serta motosikal yang ditempatkan di ruang hadapan rumah tersebut turut mengalami kerosakan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tasek Gelugor, Pegawai Bomba Kanan II, Mohamad Hazam Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.13 pagi sebelum bergegas ke lokasi bersama jentera.

Keadaan rumah mangsa.

“Setibanya di lokasi, kita dapati seorang wanita berusia 26 tahun yang mengalami kecederaan sudah dibawa keluar oleh jiran.

“Mangsa juga dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk rawatan lanjut.

“Susulan itu, kami melakukan kerja-kerja pemantauan dan kawalan agar tiada letupan berlaku lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati, rumah tersebut didiami tiga individu terdiri daripada mangsa, adik lelaki serta isterinya.

Kereta serta motosika yang ditempat di ruang hadapan rumah turut mengalami kerosakan.

“Berdasarkan keterangan awal ahli keluarga itu, ketika kejadian mereka sedang tidur manakala kakaknya dipercayai turun ke bawah untuk melakukan rutin memasak sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan.

“Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast