Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media khas di Pejabat Perdana Menteri Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 14 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Kerajaan telah mengarahkan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun untuk mengadakan rundingan dengan Kerajaan Singapura membabitkan kontroversi tuntutan terhadap Pulau Batu Puteh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Jemaah Menteri juga telah meminta Idrus meneliti semula dan mengkaji isu berbangkit terhadap pulau yang kini sudah diserahkan kepada negara jiran itu.

Jelas beliau, rundingan tersebut perlu diadakan segera dengan Singapura yang berjaya mendapatkan Pulau Batu Puteh menerusi Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum ini.

“Kita minta Peguam Negara memberi penjelasan mengenai kontroversi tuntutan Batu Puteh yang sekarang sudah dipindahkan ke Singapura oleh ICJ dan kesan sampingannya.

“Kerajaan juga meminta supaya diteliti semula supaya ada rundingan yang lebih bermakna dan segera dengan Singapura agar tidak ada masalah berbangkit dengan hubungan dua negara sahabat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan measyuarat Kabinet di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Isu Pulau Batu Puteh yang kini menjadi milik Singapura adalah lanjutan kepada pertikaian yang dibawa oleh Malaysia dan Singapura ke ICJ pada tahun 2003.

Pada tahun 2008, ICJ memutuskan bahawa Batu Puteh adalah milik Singapura.

Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini cuba mendapatkan semakan penghakiman ICJ pada 2017 selepas penemuan fakta baharu.

Perbicaraan telah ditetapkan pada Julai 2018, tetapi Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini memutuskan untuk tidak meneruskan prosiding.

Sementara itu, Pulau Batu Puteh terletak hanya 7.7 batu nautika (14 km) dari pantai Tanjung Penyusuh, Johor berbanding 25.5 batu nautika (44 km) dari Singapura.

Hari ini pulau itu mempunyau rumah api, helipad, loji penyahgaraman dan lebih penting lagi stesen penyiaran semula tentera.

Ia seolah-olah mencadangkan bahawa Singapura berhasrat untuk menubuhkan Batu Puteh sebagai pos kota kara (outpost) dengan tujuan ketenteraan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast