Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan rangkaian 5G kini dijangkau meliputi 40 peratus di kawasan berpenduduk (COPA) seluruh negara pada Disember 2022.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Digital Nasional Berhad (DNB), Nasution Mohamed, jangkauan itu seiring dengan komitmen 80 peratus COPA pada 2024.

“Atas dasar permintaan untuk perkhidmatan 5G serta sokongan yang diterima untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan daripada pelbagai pihak berkuasa negeri dan tempatan bagi mempercepatkan pelaksanaan rangkaian, kami yakin 80 peratus COPA bakal dicapai dalam tempoh 18 bulan akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, rangkaian tersebut bakal mencapai 14 juta penduduk di lokasi rangkaian yang telah ditetapkan dan melebihi 30 juta penduduk dalam tempoh dua tahun akan datang.

Sebanyak 40 peratus COPA akan dicapai dengan sekitar 3,500 tapak berbanding 4,018 tapak yang dirancang sebelum ini.

Menurut Nasution, pengurangan kiraan tapak tersebut berpunca daripada masalah rantaian bekalan pada awal tahun ini, dan kelewatan dalam mendapatkan kelulusan pihak berkuasa tempatan terutamanya di Selangor dan Sarawak.

“Sebahagian besar masalah ini telahpun selesai dan rangkaian DNB akan terus dilaksanakan secara progresif pada 2023 sebagaimana yang dirancang.

“Bagi mengatasi kelewatan tersebut dan mencapai 40 peratus COPA, DNB telah mengubah hala pelaksanaan ke negeri-negeri yang sebelum ini dijadualkan pelaksanaannya pada tahun 2023 dan seterusnya,” jelas beliau lagi.

Buat masa ini, rangkaian 5G Malaysia telah meliputi hampir keseluruhan Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Selangor, selain kawasan-kawasan utama di Pulau Pinang, Johor dan Negeri Sembilan serta sebahagian daripada Melaka, Perak, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Setakat ini, lima daripada enam Operator Rangkaian Mudah Alih (MNO) di Malaysia, yang secara kolektif mempunyai lebih daripada 20 juta pelanggan – Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Telekom Malaysia Bhd (TM), U Mobile Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd (YES ) – telah mula menyediakan perkhidmatan runcit 5G kepada pengguna akhir mereka, selepas menandatangani Perjanjian Akses 5G masing-masing dengan DNB pada 31 Oktober 2022.

Walau bagaimanapun, pelanggan Maxis Bhd masih belum dapat mengakses perkhidmatan 5G buat masa ini sementara menunggu kelulusan daripada para pemegang saham untuk melaksanakan Perjanjian Akses 5G yang dijangka akan berlangsung sekitar Januari 2023. – MalaysiaGazette