foto: Twitter

BARU-baru ini, kita dikejutkan dengan satu posting di Facebook World Health Organization (WHO) yang mana mereka secara terang-terangan mengiktiraf aktiviti LGBT. Dengan menggunakan tanda pagar #EndViolence, mereka menyatakan bahawa LGBT mempunyai hak sama rata untuk hidup di atas muka bumi ini tanpa diancam kekerasan dan diskriminasi.

Sepertimana yang kita ketahui, WHO yang ditubuhkan sejak 1948 merupakan satu badan antarabangsa yang banyak menentukan hala tuju bidang perubatan di dunia ini dan menjadi rujukan dan panduan di seluruh dunia. WHO sendiri menyatakan di laman sesawang mereka bahawa mereka menumpukan tenaga mereka ke arah memberikan kehidupan yang lebih baik berpandukan sains, dengan mengetuai dan menjuarai usaha global untuk memberikan kepada semua hak kesamarataan untuk menjalani hidup yang sihat.

Namun malangnya, sains yang mereka imani itu jauh terpesong daripada agama. Mereka sama sekali mengasingkan sains itu daripada agama, sedangkan Allah yang menciptakan alam ini dan lebih mengetahui apakah yang terbaik buat manusia keseluruhannya. Tetapi itu tidak menghairankan kerana mereka sendiri tidak beriman, maka apa sahaja tindakan yang mereka lakukan hanyalah berdasarkan hawa nafsu mereka sendiri.

Tahukah anda, golongan gay dan aktiviti hubungan sejenis (Men Sex with Men, MSM) merupakan penyumbang utama bagi kes HIV di dunia ketika ini? WHO sendiri menyatakan bahawa di sana berlakunya HIV epidemik dalam kalangan MSM, dan mereka ini berisiko dijangkiti HIV 26x lebih tinggi berbanding populasi biasa dunia. Namun apa yang berlaku, WHO mengiktiraf pula golongan ini (LGBT) sedangkan merekalah yang menyumbang kepada kes HIV dunia, bahkan menyatakan bahawa akibat diskriminasi, golongan ini tidak mendapatkan rawatan sebaiknya bagi mengurangkan kes HIV. Amat pelik bukan?

Namun sebenarnya, WHO lebih awal mengiktiraf aktiviti sonsang elgibiti ini melalui perancangan 5 tahun mereka (Thirteenth General Programme of Work 2019 – 2023). Mereka secara terang-terangan menyatakan bahawa identiti gender merujuk kepada perasaan dalaman seseorang yang mana boleh jadi sama atau tidak dengan jantina semasa mereka lahir. Sebab itu WHO mengiktiraf golongan ini dan sebarang diskriminasi kepada golongan ini akan membawa kepada permasalahan dalam memberikan rawatan.

Data Malaysia juga tidak kurangnya, dan semakin merisaukan apabila ianya menunjukkan perkara yang sama yang mana golongan gay dan MSM yang dijangkiti HIV semakin meningkat dan merupakan penyumbang utama kepada kes HIV di Malaysia. (Rujuk gambar). Maka adakah pendekatan yang sama kita perlu ambil bagi menangani kerisauan ini?

Adakah kita sanggup menelan kepahitan ini dan membiarkan negara satu hari nanti mengikut jejak langkah WHO? Kita perlu sedar, perubatan yang dibawa oleh barat akhirnya akan membawa kepada kehancuran kerana ianya sama sekali sudah lari jauh dari landasan yang digariskan oleh Islam. Kita memerlukan satu peradaban baharu dalam bidang perubatan, yang akhirnya dapat memandu manusia di seluruh dunia ke arah kehidupan bahagia dan sejahtera yang sebenar. Ia semestinya perlu berpandukan satu garispanduan yang ketat, yang meletakkan ajaran Islam sebagai sumber tertingginya. Islam dan sains sama sekali tidak bercanggah, kerana sains itu datang daripada Allah jua.

Persoalan yang lebih besar adalah, di mana kita ingin bermula?

Wallahualam

Oleh: Dr Muhammad Anas bin Mohamad Ghazali, Aktivis I-Medik

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast