Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah mencadangkan untuk memperkenalkan mekanisme kepelbagaian dan bebas apabila melibatkan pelantikan lima tokoh terbilang sebagai ahli dalam Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

Baginda bertitah orang yang dipilih bukan sahaja bebas daripada sebarang bentuk pengaruh politik tetapi juga inklusif mencerminkan kepelbagaian masyarakat berbilang kaum dan komposisi Persekutuan iaitu negeri-negeri Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Pelantikan ahli daripada pelbagai latar belakang dan bebas akan membolehkan lebih ramai pihak berkepentingan diwakili, justeru, meluaskan kepakaran dalam proses pelantikan kehakiman sambil mengekalkan kebebasan JAC.

“Beta telah dinasihatkan bahawa adalah sama pentingnya untuk Akta JAC 2009 menjadi sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan dan tidak kekal sebagai Akta Parlimen,’ titah baginda pada majlis pelancaran buku ‘Upholding The Federal Constitution: The Judicial Thoughts Of Datuk Seri Hishamudin Yunus’, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan lebih 30 hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Tinggi dan Rayuan serta Pesuruhjaya Kehakiman.

Tuanku Muhriz juga menggesa masyarakat sivil dan pihak berkepentingan lain untuk memimpin perbincangan yang bermakna untuk mencapai aspirasi kebebasan kehakiman ini sebagai cara untuk menegakkan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi negara.

“Jangan kita lupa, rakyat pergi ke mahkamah untuk mencari dan mendapatkan keadilan. Sama ada rayuan jenayah, rayuan terhadap keputusan kerajaan atau salah satu agensinya, atau perkara peribadi, orang ramai melihat mahkamah sebagai jalan mereka untuk mendapatkan keadilan,” titahnya.

Semasa bertitah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 pada 30 Nov lalu, Tuanku Muhriz telah menegaskan tentang keperluan untuk memperbaharui proses pelantikan badan kehakiman sedia ada.

Dalam ucapan titahnya hari ini, baginda seterusnya bertitah walaupun niat utama suruhanjaya itu adalah untuk menegakkan kebebasan badan kehakiman namun dilihat peruntukan tadbirannya mungkin tidak selaras dengan hasrat tersebut.

“Setakat ini, Perdana Menteri melantik lima daripada sembilan anggota suruhanjaya itu. Mengikut Perlembagaan, beliau juga mempunyai kata putus dalam pelantikan hakim di mahkamah atasan.

“Kita perlu berpandukan prinsip pengasingan kuasa sksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman. Untuk mencapai matlamat ini, beberapa pembaharuan perlu dipertimbangkan untuk mengukuhkan kebebasan suruhanjaya itu, dan akhirnya badan kehakiman,” titah baginda.

Baginda menambah kebebasan adalah intipati badan kehakiman, justeru, beliau bertitah adalah penting bahawa kebebasan kehakiman sentiasa dipelihara dan dilindungi.

Tuanku Muhriz bertitah hakim terikat untuk memegang ikrar sumpah jawatan mereka dengan teguh dan sentiasa mengingatkan diri mereka bahawa keputusan mereka mempunyai kesan mendalam kepada masyarakat dan oleh itu, pelantikan hakim yang bebas dan berwibawa adalah penting untuk memastikan matlamat ini tercapai.

Sementara itu, Tuanku Muhriz memuji Hishamudin yang merupakan bekas hakim Mahkamah Rayuan yang telah ‘menghidupkan’ banyak peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, terutamanya yang berkaitan dengan hak asasi.

“ Sepanjang khidmatnya, beliau dikenang kerana integriti dan kebebasannya, justeru, memberi laluan kepada komitmennya yang tidak berbelah bahagi untuk menegakkan keluhuran dan kesucian Perlembagaan Persekutuan.

“Keputusannya termasuk banyak bantahan pendapat barisan panel hakim namun penghakimannya adalah berdasarkan penghayatannya terhadap undang-undang, di mana dia secara elegan menerima prinsip undang-undang yang sentiasa berkembang dan menggunakannya secara bijaksana dengan objektif utama untuk memberikan keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih,” titahnya.

Menurut Tuanku Muhriz, seorang hakim yang baik juga perlu menunjukkan kesabaran dan belas ihsan dalam proses membuat keputusan dan dalam konteks ini, Hishamudin adalah seorang hakim yang memiliki semua ciri penting ini yang menjadikannya menonjol sebagai hakim yang disegani.- BERNAMA