Syed Saleh Syed Abdul Rahman

KULA ALUMPUR – Bakal jemaah Haji Malaysia bagi tahun 1444H/2023M dinasihatkan  menunggu pengumuman rasmi daripada Lembaga Tabung Haji (TH) yang akan dimaklumkan sebaik sahaja jumlah kuota, kriteria pemilihan dan kaedah pelaksanaannya diputuskan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Pengarah Eksekutif Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, TH akan memaklumkan tarikh pengeluaran surat tawaran haji kepada bakal jemaah haji terpilih menerusi platform-platform komunikasi rasmi TH kelak.

Menurutnya, setelah tarikh pengeluaran surat tawaran haji diumumkan, bakal haji Malaysia boleh melayari www.thijari.com.my atau memuat naik aplikasi ThiJARI bagi menyemak dan menjawab tawaran haji yang telah dikeluarkan.

Beliau turut menasihati orang ramai agar untuk tidak mudah percaya dengan berita yang tular di media sosial tentang tarikh pengeluaran surat tawaran haji, rayuan haji, syarat kelayakan bakal haji dan juga kriteria pemeriksaan kesihatan.

Berita tidak sahih tersebut telah menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat dan TH menerima banyak pertanyaan berkenaannya.

Untuk makluman, TH sedang menganjurkan kursus asas haji selama 13 minggu bermula 25 November sehingga 17 Februari 2023 sebagai persediaan
melengkapkan bakal-bakal haji dengan ilmu pengetahuan berkaitan ibadat haji serta mendapat gambaran suasana terkini di tanah suci. – MalaysiaGazette