MELAKA – Seorang ibu tunggal dan kekasihnya didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas dua pertuduhan cuai sehingga menyebabkan kematian anak lelakinya tahun lalu.
Tertuduh wanita, R. Vasanthi, 21, dan kekasihnya, L. Indran, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam dan Mohd. Sabri Ismail.
Indran bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam dan Mohd. Sabri Ismail.
Mengikut pertuduhan, masing-masing didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan seorang kanak-kanak lelaki
bernama Tharsan Therma Raj berusia dua tahun telah mendedahkannya kepada bahaya.
Perbuatan itu kemudian telah mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan fizikal di bahagian dada, belakang badan dan kedua-dua belah kaki.
Ia dilakukan antara pukul 4 hingga 6 petang di Kampung India, Jasin di sini pada 11 November 2021.
Difahamkan, pasangan itu telah mendedahkan kanak-kanak itu kepada bahaya sehingga menyebabkannya terjatuh ke dalam kandang kambing di tempat kejadian.
Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa, N. Sivashangari mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 terhadap Vasanthi kerana mangsa yang juga anaknya telah meninggal dunia pada 17 November tahun lalu.
Ibu tunggal itu yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon jaminan rendah atas alasan baharu sahaja melahirkan anak kedua pada 10 November lalu dan bergantung pada pendapatan suami yang tidak bekerja.
Hakim Darmafikri kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 25 Januari depan sebagai serahan dokumen dan lantikan peguam.
Pada prosiding di hadapan Hakim Mohd. Sabri pula, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan tertuduh lelaki yang tidak diwakili peguam dikenakan jaminan RM30,000 kerana kesalahan sehingga mengakibatkan kematian.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM15,000 dan kes akan disebut 16 Januari depan. – MalaysiaGazette