Saifuddin Nasution bercakap pada sidang media Lawatan Rasmi ke Ibu Pejabat RELA di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) buat masa ini tidak merancang untuk menyemak semula atau melakukan pindaan pada Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 ataupun SOSMA.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sekali lagi mengulangi pendirian itu dalam soal SOSMA selepas dikritikĀ  Ahli Parlimen Damansara yang juga Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo dan Lawyers for Liberty.

Bagaimanapun Saifuddin berkata, beliau dan GobindĀ  berpendirian sama dalam soal SOSMA yang mana ia merupakan undang-undang bersifat dinamik dan tidak statik yang boleh dipindah dan disemak semula pada bila-bila masa.

“Saya menerima panggilan telefon daripada Gobind sahabat karib saya yang memberi pandangan beliau dalam soal SOSMA yang mana pendirian saya adalah seorang yang memegang pemahaman bahawa apa pun undang-undang ianya adalah bersifat dinamik dan tidak statik.

“Sebab itu kita ada Parlimen tempat menggubal undang-undang baharu atau pindah undang-undang yang sedia ada itulah mekanisme yang ada di negara kita.

“Kalau ditanya apakah ia (semak SOSMA) sekarang, maksud saya sekarang tidak,” katanya dalam sidang media bersempena Lawatan Rasmi ke Ibu Pejabat Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di sini hari ini.

Beliau telah menghadiri taklimat hampir dua jam yang turut disertai timbalannya, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Wan Abdul Aziz.

Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR menambah, dalam undang-undang SOSMA terdapat beberapa seksyen dan juga fasal yang telah diteliti dan diperhalusi beliau baru-baru ini.

“Jadi,kalau ditanya apakah ia perlu kekal selama-lamanya , jawapan saya adalah sudah tentulah tidak..ada seksyen tertentu yang perlu kita beri pertimbangan sewajarnya dari semasa ke semasa.

“Tetapi pada momen ini saya kata tidak sebab saya baru dua minggu di sini (KDN),” tegasnya lagi.

Dalam perkembangan terbaharu, Naib Presiden Parti MUDA, Zaidel Baharudin juga menyuarakan pendapatnya terhadap SOSMA sebagai undang-undang bersifat berat sebelah dan terdedah dengan penyalahgunaan. – MalaysiaGazette