KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terkorban akibat kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor.
Dalam hantaran Facebook Istana Negara hari ini, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa dukacita atas tragedi yang berlaku awal pagi hari ini dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mangsa sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
“Seri Paduka berdua mendoakan agar roh mangsa yang beragama Islam dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
“Seri Paduka berdua menzahirkan setinggi penghargaan kepada para anggota jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa,” menurut hantaran tersebut.
Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar operasi itu dilakukan secara rapi dan terancang.
Seri Paduka berdua turut mendoakan agar dipermudahkan urusan dan usaha mencari serta menyelamat semoga mangsa-mangsa yang terperangkap dapat diselamatkan dengan segera.
Sehingga pukul 12 tengah hari tadi didapati bahawa 94 orang mangsa berada di kawasan tapak perkhemahan Father’s Organic Farm dan 60 orang yang melibatkan 46 pengunjung serta 14 pekerja berjaya diselamatkan. – MalaysiaGazette