Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hadir ke Majlis Sambutan 40 Tahun dan Mesyuarat Agung Perwakilan kali ke-40 Koperasi Peserta Felcra Malaysia Berhad ketika di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Semua parti politik yang menyertai Kerajaan Perpaduan harus mementingkan isu kestabilan politik, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Biar pun semua parti yang menyatakan sokongan terhadap kerajaan Perpaduan adalah berbeza kabilah, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, perkara itu harus diketepikan demi memastikan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kukuh.

“Walaupun kita berkabilah yang berbeza namun realiti yang berada di hadapan kita, hendaklah disampingkan perbezaan pegangan antara kita.

“Jika ada pun perbezaan pendapat itu ada kaedah yang harus dilaksanakan secara tasawuf dan penuh akhlak yang tinggi dan ada harus ditangani mengikut prinsip utama siasah Islamiah.

“Maka kita harus berpijak di bumi yang nyata dan mengakui realiti bahawa kestabilan politik harus diwujudkan biarpun kita berbeza pendapat tapi dengan tidak berhasrat untuk tidak merosakkan kestabilan politik di negara ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan 40 tahun dan mesyuarat agung Koperasi Peserta Felcra Malaysia Berhad di ibu negara hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian tatkala Malaysia mencatatkan sejarah apabila lima gabungan utama iaitu Pakatan Harapan (PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang menyokong Kerajaan Perpaduan menandatangani perjanjian persefaham (MoU) hari ini.

Dalam MoU tersebut, gabungan itu bersetuju menjunjung kesetiaan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara dan memelihara serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, pihaknya tidak mahu berlaku lagi pertukaran kerajaan.

Malah kata Ahmad Zahid, langkah itu perlu bagi memastikan kerajaan dapat terus fokus kepada aspek pembangunan negara dan memacu pertumbuhan ekonomi.

“Selepas PRU15 dan kerajaan perpaduan telah terbentuk maka semua parti politik yang manifestonya adalah untuk membangunkan negara dan memacu pertumbuhan ekonomi dan mengwujudkan kestabilan politik harus diterjemahkan komitmen ini selepas daripada kerajaan bari terbentuk.

“Walaupun kita tahu pada Isnin nanti ada sidang khas Dewan Rakyat yang antaranya akan memberikan keabsahan kepada kerajaan Perpaduan Malaysia ini bagi menentukan tempoh satu penggal ini tidak akan terdapat lagi pertukaran kerajaan yang akan menyebabkan berlakunya ketidak stabilan politik dan ini telah mengekang pertumbuhan ekonomi negara serta masalah yang berkaitan dengannya dihadapi oleh rakyat pada keseluruhannya,” jelas Ahmad Zahid lagi. – MalaysiaGazete