Petugas Forensik membawa keluar mayat mangsa korban kejadian tanah runtuh di Batang Kali ke Jabatan Forensik di Hospital Sungai Buloh, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 16 DISEMBER 2022.

SUNGAI BULOH – Setakat ini sudah 11 mayat akibat insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali dekat sini telah diterima oleh Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, lima lagi mayat dipercayai sedang dalam perjalanan daripada lokasi kejadian.

Menurut beliau, sehingga kini, identiti semua mayat masih belum dikenal pasti.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, jabatan forensik hospital tersebut masih menunggu arahan untuk bedah siasat dijalankan daripada pihak polis.

“Selepas arahan diterima,  jabatan forensik akan teruskan apa yang dilaksanakan seterusnya,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Dr. Zaliha hadir di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh bersama timbalannya, Lukanisman Awang Sauni.

Menteri Kesihatan itu berkata, sebanyak lapan pasukan ditugaskan untuk menjalankan bedah siasat terhadap semua mayat.

“Mereka terdiri daripada pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan dan pembantu perubatan kesihatan yang turut dibantu petugas Jabatan Forensik dari Hospital  Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam untuk menjalankan bedah siasat dan hospital Lembah Klang,” katanya lagi.

Sementara itu, Dr.  Zaliha berkata, jabatan forensik akan menggunakan kaedah antermortem untuk mempercepatkan proses pengecaman dan penyerahan mayat kepada waris.

“Dengan adanya antermortem ini akan memudahkan proses seterusnya untuk waris kalau selesai cepat kita boleh serahkan mayat kepada waris,” jelasnya.

Sementara itu beliau berkata, Kementerian Kesihatan telah  menyediakan perkhidmatan kaunseling untuk waris yang berada di hospital tersebut.-MalaysiaGazette