KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa-mangsa yang meninggal dunia dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Hulu Selangor hari ini.
Menurut beliau, agensi kerajaan telah turun ke lokasi kejadian pagi tadi bagi mengkoordinasikan segala bantuan yang diperlukan dari kerajaan negeri Selangor melalui penyelarasan Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor dengan agensi-agensi berkaitan agar mangsa yang belum dikesan dapat dicari secepat mungkin.
“Saya akan turun ke lokasi kejadian malam ini bersama Perdana Menteri dan mohon doa daripada seluruh rakyat agar pasukan mencari dan menyelamat dilindungi Allah SWT supaya setiap mangsa yang belum dikesan dapat diselamatkan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sehingga pukul 12 tengah hari tadi didapati bahawa 94 orang mangsa berada di kawasan tersebut dan 60 orang yang melibatkan 46 pengunjung serta 14 pekerja berjaya diselamatkan.
Seramai 22 mangsa belum dikesan dan operasi mencari dan menyelamat sedang giat diteruskan dengan melibatkan 446 anggota yang diketuai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor serta dibantu dari segi peralatan dan anggota daripada semua agensi kerajaan. – MalaysiaGazette