SUNGAI BULOH – Tujuh guru wanita Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong di Kuala Lumpur antara yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali – Genting Highlands awal pagi tadi.
Menurut Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, U Chin Ong, selain itu, 16 lagi mangsa merupakan rakan dan keluarga guru-guru di sekolah berkenaan.
““Lima masih dicari. Merujuk balai polis mereka masih dicari, kami sudah pergi ke beberapa hospital tidak ada mangsa di sana. Setahu saya kesemua adalah cikgu wanita,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh hari ini.
Tambah Chin Ong, berdasarkan maklumat yang diterimanya hanya dua daripada tujuh guru terbabit berjaya diselamatkan manakala selebihnya masih belum ditemui.
Terdahulu beliau berkata, aktiviti perkhemahan dalam kalangan guru sekolah itu bukan anjuran SJKC Mun Choong.
“Ini bukan aktiviti sekolah, bukan yang dianjurkan sekolah atau PIBG. Ini program mereka bersama-sama rakan-rakan. PIBG tidak tahu aktiviti ini, hanya tahu hari ini,” tambahnya.
Sementara itu, beliau berkata, perkhemahan yang bermula sejak Rabu lalu itu juga tidak melibatkan pelajar SJKC Moon Choong. -MalaysiaGazette