PEKAN – Jawatankuasa Kemakmuran dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Sungai Miang, di sini melaksanakan sistem khusus bagi mengurus kebajikan mangsa banjir di kawasan itu.
Menurut Pengerusinya, Samsudin Hassan, strategi pengurusan yang baru diperkenal itu dilihat penting bagi menyelaras senarai mangsa yang layak menerima bantuan tersebut bagi mengelakkan ketirisan dan penyelewengan.
“Bukan kita nak mempersoal ketelusan individu yang menjadi mangsa banjir ini. Tapi ia bagi memastikan pengagihan bantuan secara saksama dapat dilaksana meliputi kesemua mangsa yang terjejas,” katanya.
Samsudin berkata demikian ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sinar Mutiara, di sini hari ini.
“Kali ini, hanya mangsa yang diberikan Kad Merah ini sahaja yang diterima untuk ditempatkan di PPS ini.
“Mereka ini adalah mangsa banjir yang dibawa ke PPS oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan dikenal pasti oleh pihak berkuasa sebagai mangsa yang terjejas,” jelasnya.
Selain Kad Merah arahan supaya berpindah, penduduk yang dikenal pasti terkesan banjir juga akan diberikan Kad Nombor Keluarga yang sama seperti di dalam borang pendaftaran masuk PPS.
“Setiap keluarga akan menerima kad ini supaya kita boleh pastikan tidak ada pertindihan nama ketika daftar masuk dan memudahkan pengagihan bantuan kelengkapan seperti selimut, tuala, makanan dan kelengkapan asas lain,” tambahnya lagi.
Sementara itu, PPS Sekolah Kebangsaan Sinar Mutiara, di sini yang menempatkan 141 mangsa banjir secara rasmi ditutup pada jam 11 pagi tadi.
Samsudin berkata, kesemua 36 keluarga di Kampung Sungai Miang Pantai, Batu 6; Kampung Sungai Miang (belakang klinik); Kampung Baru Cenderawasih dan Fasa 4 Kampung Cenderawasih telah dibenar pulang ke kediaman masing-masing.
“Tapi kita masih dalam ‘mode’ bersedia. Sebab menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), air pasang besar bermula 22 Disember ini berserta hujan lebat,” katanya.
Dalam pada itu, seorang penduduk di Kampung Baru Cenderawasih yang ditemui, Rofazla Abdullah, 46 juga memaklumkan beliau dan keluarganya sentiasa berwaspada meski telah dibenar pulang daripada PPS terbabit.
“Kami sentiasa dapat perkembangan daripada Tok Pat (Samsudin). Dia kata buat masa ni perlu terus berhati-hati. Barang-barang letak di tempat tinggi,” luahnya.
Rofazla lima sekeluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Sinar Mutiara sejak 13 Disember lalu selepas air naik di kawasan rumahnya ekoran hujan lebat.
Tinjauan MalaysiaGazette di Kampung Baru Cenderawasih, di sini hari ini juga mendapati air belum surut sepenuhnya dan arus sungai berhampiran masih tinggi dan deras. – MalaysiaGazette