Watak Amato dan Pian dalam Mechamato.

KUALA LUMPUR – Sejumlah RM7.2 juta geran telah disalurkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) kepada 34 penggiat industri kreatif tempatan pada tahun ini bagi membangunkan industri tersebut, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, antara contoh pencapaian yang membuahkan hasil daripada pemberian geran tersebut adalah kejayaan siri animasi tempatan Mechamato yang baru-baru ini mencipta sejarah selepas disenaraikan antara tiga tempat teratas di Anugerah Festival Anime Tokyo 2023.

Siri animasi popular itu adalah terbitan Animonsta Studios Sdn Bhd (Monsta), sebuah syarikat animasi tempatan yang merupakan salah satu penerima Geran Kandungan Digital MDEC,

“Saya difahamkan Mechamato juga adalah satu-satunya siri dari Malaysia yang tercalon dalam senarai Top 10 (10 tempat teratas) di anugerah festival tersebut.

“Ini membuktikan bahawa hasil karya animasi Malaysia adalah bertaraf dunia dan kerajaan akan terus komited dalam memberi sokongan yang berterusan untuk memperkasakan lagi industri ini di bawah agenda ekonomi digital negara,” katanya dalam ucapan beliau pada majlis perasmian Malaysia Digital Content Festival 2022 (MYDCF 2022), di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Datuk Seri Mohammad Mentek.

Fahmi berkata industri kreatif dan kandungan digital telah memberikan impak yang besar terhadap ekonomi digital Malaysia dan berjaya mengeksport bakat tempatan yang diiktiraf dunia.

Menurutnya, ramai bakat tempatan kini berkarya dengan studio animasi dan permainan antarabangsa dan berkhidmat dengan studio terkemuka di Hollywood.

Beliau berkata apa yang lebih membanggakan adalah anak-anak Malaysia yang telah berkhidmat di luar negara, kini kembali ke tanahair demi menyuburkan lagi ekosistem kreatif dan kandungan digital tempatan.

Dari sudut penghasilan harta intelek (IP), Fahmi berkata, Malaysia seharusnya berbangga apabila permainan berjudul ‘Gigabash’ yang kini mendapat perhatian pemain antarabangsa telah dihasilkan di Malaysia oleh anak tempatan menerusi Passion Republic Games.

Mengenai pasaran industri kreatif dan kandungan digital terutamanya pasaran permainan video, beliau berkata industri berkenaan diunjurkan memberi pulangan sehingga RM977.8 bilion di peringkat global menjelang hujung tahun 2022.

“Menerusi saiz dan potensi dalam industri ini, saya yakin dan percaya Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerusi MDEC akan terus melipat gandakan usaha dalam menarik pelaburan asing ke dalam negara bagi menyemarakkan lagi ekosistem tempatan.

“Usaha berterusan untuk menarik pelaburan dalam industri kreatif dan kandungan digital ini telah menghasilkan kerjasama antara ekosistem tempatan dengan pemain industri dan pelabur antarabangsa seperti Larian Studios, Bandai Namco, Xsolla dan Omens Studio,” katanya.

Beliau berharap agar akan ada banyak lagi usaha sama dimeterai antara pihak berkaitan pada masa hadapan.

MYDCF 2022 yang diadakan serentak dengan acara Comic Fiesta akan berlangsung selama dua hari mulai hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan dijangka menarik lebih 40,000 pengunjung dari seluruh Malaysia. – BERNAMA