Keadaan tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 17 DISEMBER 2022.

HULU SELANGOR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) baki sembilan mangsa bencana tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya di sini akan diteruskan sehingga 4 pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, walaupun hujan lebat secara tiba-tiba melanda kawasan itu jam 9 malam tadi, misi SAR akan tetap diteruskan bagi mencari mangsa-mangsa yang masih terperangkap dalam runtuhan tanah itu.

“Kita punya perancangan awal pada hari ini adalah meneruskan operasi SAR sehingga jam 4 pagi. kita fokus kepada lima agensi utama yang berkepakaran meneruskan operasi pada waktu malam di tapak kejadian runtuhan ini.

“Saya difahamkan walaupun cuaca malam ini hujan lebat, kami telah membuat keputusan dan akan meneruskan operasi ini untuk mencari sembilan lagi mangsa yang masih hilang lagi di bawah tanah runtuh.

“Maka kita akan meneruskan operasi SAR ini sehingga jam 4 pagi dan kita akan sambung semula operasi pencarian mangsa pada jam 9 pagi semula esok (Ahad),” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian malam ini.

Beliau juga mengakui cuaca buruk hujan lebat dan persekitaran semestinya akan memberi cabaran kepada pasukan SAR dalam meneruskan operasi tersebut.

“Kita masih kekalkan fokus pencarian dan menyelamatkan mangsa tanah runtuh di tiga sektor di tempat insiden ini,” ujranya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Bomba Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail pula berkata, pihaknya akan membuat penugasan dan penggantian secara sistematik bagi memastikan anggota SAR yang memasuki kawasan tanah runtuh untuk mencari mangsa tertimbus berada dalam keadaan bersiap sedia.

“Setakat ini kita mengekalkan jumlah keanggotaan pasukan SAR seramai 135 orang dalam misi mencari mangsa yang masih hilang di lokasi,” tegasnya.-MalaysiaGazette