Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin berkenan meninjau lokasi tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 17 DISEMBER 2022.

BATANG KALI – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli meninjau pusat operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di Jalan Genting Highlands – Batang Kali pada kira-kira 10.19 pagi tadi.

Tengku Amir kemudian diberi taklimat oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed serta Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Datuk Norazam Khamis di bilik gerakan operasi.

Setakat ini, operasi SAR masih diteruskan bagi mencari bagi 12 mangsa tragedi yang belum ditemui.

Tragedi jam 2.30 pagi semalam meragut 21 nyawa daripada 94 mangsa yang sedang bercuti di tapak perkhemahan diusahakan sebuah syarikat yang disahkan beroperasi tanpa lesen.

Difahamkan, antara yang terkorban adalah penghuni perkhemahan dari Melaka dan Kuala Lumpur manakala yang terselamat pula terdiri daripada pekerja ladang tersebut termasuk 13 warga Myanmar. 

Kegagalan struktur kaki cerun dipercayai menjadi punca kejadian membabitkan keluasan keseluruhan 225,000 meter padu membabitkan anggaran tanah runtuh sebanyak 500,000 tan dengan ketinggian 30 meter.

Antara yang meninjau lokasi bencana semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast