Anjing Unit K-9 bomba yang bernama Grouse (kiri) dan Denti (kanan) di pusat operasi bagi melakukan pencarian sembilan mangsa yang masih hilang di lokasi kejadian tanah runtuh di Father's Organic Farm Batang Kali, Selangor.

PETALING JAYA – Gara-gara kepenatan akibat ‘kerja’ lebih masa, seekor anjing unit pengesan (K-9) yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Batang Kali perlu berehat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, anjing baka English springer spaniel yang diberi nama ‘Blake’ itu terpaksa mengalah setelah dua hari berturut-turut digunakan mengesan mangsa yang hilang dalam kejadian itu.

Beliau berkata, Blake antara 11 anjing pengesan yang digerakkan daripada bomba, polis, dan tentera untuk operasi mencari dan menyelamat.

“Pada hari ketiga ini, Blake bertugas daripada pagi dan melakukan sistem penggiliran. Ini kerana jika K9 terlalu fokus digunakan, proses pengesan akan menjadi tidak sensitif.

“Sebab itu, pada peringkat ini kita akan gerakkan secara bergilir-gilir mengikut waktu 30 minit dan berehat sebelum diganti dengan K9 lain,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian di sini hari ini.

Norazam berkata, 11 ekor anjing pengesan diletakkan dalam keadaan siap siaga di lokasi kejadian di mana enam daripadanya milik JBPM, empat (Polis Diraja Malaysia) dan seekor (Angkatan Tentera Malaysia).

Katanya, pihaknya mungkin akan meminta penambahan anjing pengesan sekiranya perlu.

“Seramai enam mangsa keseluruhannya berjaya dikesan oleh Unit K9 iaitu pada hari pertama dan kedua.

“Anjing-anjing ini sememangnya pakar dan terlatih, bukan setakat boleh menjejaki mangsa yang berada di kedalaman 10 hingga 15 kaki dalam tanah, malah boleh turut mengesan mangsa lemas dalam air.

“Seperti Denti dan Grouse, mereka telah berkhidmat selama enam tahun dan pernah melakukan operasi mangsa lemas dan mangsa yang hilang,” katanya.