Foto: FB Alexander Nanta Linggi

SEREMBAN – Hasil tinjauan dan pemeriksaan visual dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati kawasan runtuhan di Kuala Pilah melibatkan laluan FT 1275 Seksyen 2.7 Jalan Felda Kepis, sepanjang 30 meter dengan kedalaman runtuhan dianggarkan 10m.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, susulan itu laluan ditutup sepenuhnya di simpang dari Juasseh, Senaling dan simpang ke Perkampungan Felda Kepis.

“Saya difahamkan, kerja mengukur dan penyiasatan tapak dilaksanakan dalam masa terdekat. Manakala kerja reka bentuk serta arahan kerja kepada kontraktor akan dikeluarkan selewat-lewatnya akhir bulan ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook di sini hari ini.

Nanta dan agensi terlibat melakukan tinjauan di kawasan tersebut serta beberapa lokasi lain yang terjejas akibat tanah runtuh pada pagi tadi.

Katanya, pembinaan dijangka bermula pada awal Januari 2023 dan dijangka siap pada Jun 2023.

Beliau berkata, kerja pembinaan laluan lencongan menggunakan turapan batu kerikil di Felda Kepis bermula esok sebagai alternatif penduduk berdekatan untuk melalui jalan tersebut.

Menurut beliau, semua pegawai terlibat diingatkan membantu mempercepatkan usaha pembaikan jalan demi kesenangan rakyat.  – Bernama