Kenderaan Van Nirvana yang dipercayai membawa mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm tiba di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk melakukan proses pengecaman. Foto MUHD NA’IM, 18 DISEMBER 2022.

SUNGAI BULOH – Mayat ke-17 yang merupakan mangsa korban tragedi tanah runtuh di Gohtong Jaya, Batang Kali selesai menjalani proses bedah siasat di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh (HSB) hari ini.

Mayat mangsa dipercayai orang dewasa itu dibawa keluar menaiki kenderaan miliki Pusat Peringatan Nirvana untuk upacara keagamaan selanjutnya.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan identiti mayat yang dibawa keluar sekitar pukul 10.25 pagi tadi.

Selang lima minit selepas itu, terdapat sebuah lagi van milik pusat krematorium sama memasuki kawasan sama, namun tidak dapat dipastikan urusannya.

Difahamkan, setakat ini, terdapat lapan lagi mayat yang masih menjalani proses bedah siasat termasuk menunggu tuntutan oleh waris.

Kesemua 24 mangsa meninggal dunia akibat tragedi tanah runtuh, dihantar ke Jabatan Forensik HSB, setakat semalam.

Pengamal media yang menunggu di perkarangan jabatan berkenaan bagi membuat liputan turut tidak dimaklumkan oleh pihak HSB, mengenai sebarang maklumat terkini membabitkan mayat mangsa yang dibawa ke hospital itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast