Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat melawat tempat runtuhan tanah di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali, Selangor.

BATANG KALI – Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat melawat tempat runtuhan tanah di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, di sini, petang ini.

Keberangkatan tiba baginda bersama puteri bongsu, Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah diiringi Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Baginda meluangkan masa kira-kira 40 minit dan diberikan taklimat mengenai operasi mencari dan menyelamat SAR di bilik gerakan operasi yang turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Setakat petang semalam, 24 mangsa disahkan terkorban, manakala 61 orang selamat dan sembilan masih hilang daripada keseluruhan 94 orang yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan yang terletak di Jalan Genting-Batang Kali itu.

Memasuki hari ketiga, operasi SAR bagi sembilan lagi mangsa yang belum ditemukan diteruskan hari ini bermula jam 9 pagi selepas ditamatkan pada 9 malam tadi. – MalaysiaGazette