KUANTAN – Satu kejadian tanah runtuh di belakang Bank Hong Leong, cawangan Raub berlaku kira-kira pukul 2.45 petang tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, lapan anggota JBPM Raub dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Sejurus tiba di lokasi, didapati berlaku tanah runtuh dan terkena bahagian belakang bangunan kedai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelas Zulfadli, tiada mangsa atau kenderaan yang terlibat dalam kejadian runtuhan tanah dari tebing setinggi kira-kira 10 sehingga 15 meter itu.
Difahamkan, tanah runtuh itu berlaku di cerun bukit dengan keluasan kira-kira 600 meter persegi yang mana insiden itu telah menjejaskan hampir keseluruhan laluan jalan di belakang bangunan tersebut.
“Pasukan bomba membuat pemeriksaan dan pemantauan di lokasi bagi memastikan kawasan tersebut betul-betul selamat,” tambahnya.
Dalam pada itu, Zulfadli memberitahu pihaknya akan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. – MalaysiaGazette