Pekan Kampung Gunung di Bachok telah dinaiki air berikutan hujan lebat sejak semalam.

KOTA BHARU – Seramai 1,926 keluarga melibatkan 6,826 mangsa banjir di beberapa daerah di Kelantan dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sejak malam tadi.

Hujan lebat bermula awal pagi kelmarin menyebabkan banyak kawasan di daerah Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Jeli, Machang, Tumpat, Pasir Puteh dan Bachok dinaiki air.

Paras air di Sungai Kelantan yang  dijadikan tempat sukatan banjir juga melepasi paras amaran dan bahaya.

Menurut kenyataan Info Banjir Kelantan, sehingga jam 11 pagi ini, seramai 1,321 mangsa melibatkan 408 keluarga di Tanah Merah sudah dipindahkan.

Mereka ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Batang Merbau, SK Bendang Nyior, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Md. Yaacob, SMK Bukit Bunga dan beberapa PPS lagi.

Di Pasir Puteh pula sebanyak 310 keluarga (1,070 mangsa) ditempatkan di SK Changgai, Kompleks Dewan Sri Kamil, SK Wakaf Raja, SK Kamil 1 dan SK Bukit Jawa 2.

Manakala di Pasir Mas, terutama pekan Rantau Panjang seramai 345 keluarga (1,135 mangsa) kini ditempatkan di PPS SK Tok Deh, SK Gual Periok dan SK Sri Kiambang.

Di Machang pula sebanyak 237 keluarga (821 mangsa) di PPS SK Hamzah 1, SK Dewan Besar, SK Tok Bok, SK Pangkal Jenereh dan SK Pulai Chondong.

Manakala di Kuala Krai melibatkan 168 keluarga (669 mangsa) ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Mial, Madrasah Kampung Sepuluh, Madrasah Chuchuh Puteri A, SK Chenulang dan SMK Kuala Krai.

Kota Bharu sebanyak 366 keluarga (1,505 mangsa) di PPS SK Tiong, SK Melor, SMK Salor, SK Tapang, SK Mulong dan SK Kubang Kerian 2.

Di Jeli sebanyak 57 keluarga melibatkan 207 mangsa dipindahkan ke SK Legeh dan SMK Air Lanas, manakala di Bachok pula 35 keluarga dengan 132 mangsa ditempatkan di SMK Jelawat.

Paras air Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai melepasi paras bahaya iaitu 38.92 meter (paras bahaya 35 meter) setakat jam 11 pagi tadi, manakala Tangga Krai melepasi paras amaran iaitu 24.98 meter (bahaya 25 meter).

Paras air di Tambatan Diraja, Kota Bharu juga sudah melepasi paras berjaga-jaga iaitu 3.29 meter (bahaya 5 meter), diikuti beberapa lokasi di Sungai Golok Kampung Jenob melepasi bahaya 24.58 meter (bahaya 23.50 meter).

Rantau Panjang juga sudah melepasi paras bahaya iaitu 10.66 meter (bahaya 9 meter) dan Kuala Jambu juga melepasi paras bahaya 2.99 meter (bahaya 2.50 meter).

Paras air di Sungai Pasir Puteh setakat ini sudah melepasi amaran iaitu 2.73 meter (bahaya 3 meter).

Beberapa jalan juga ditutup kepada semua kendaraan iaitu Jalan Bukit Sireh, Kampung Bedal dan Kuala Nal, Kuala Krai di KM2.5-KM2.7; Machang melibatkan Jalan Pangkal Meleret-Limau Hantu di KM1.0.

Di Pasir Mas, Jalan Pengkalan Rakit-Batu Karang di KM3 – KM3.7 dan Jalan SK Gual Tok Deh di KM 0.05-KM0.50; di Pasir Puteh, jalan ditutup ialah Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di KM664 dan KM675 – KM676, Jalan Gaal – Kampung Bukit di KM4.

Tanah Merah di Jalan Tanah Merah-Kusial-Kampung Ipoh di KM2.3 hingga ke KM7.10, Jalan Kg Paloh ke Bukit Panau – Bendang Nyior di KM10 – KM16.9 dan Jalan Panglima Bayu – Rantau Panjang di KM7.4.

Di Tumpat, Jalan Cabang Empat ke Kampung Jambu di KM0.3 – KM2.35 dan Jalan Pasir Pekan Hilir ke Pohon Tanjung di KM1.2 – KM1.25. – MalaysiaGazette