Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Rancangan Makanan Tambahan atau RMT tidak perlu diperluaskan kepada semua murid kerana dikhuatiri menyebabkan pembaziran.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Besar Kebangsaan Malaysia, Chuah Soo Cheng berkata, murid yang betul-betul memerlukan bantuan itu adalah mereka dari keluarga kurang berada, tetapi RMT juga boleh dilaksanakan untuk pelajar dari keluarga berpendapatan sederhana.

Katanya, keadaan itu perlu dipertimbangkan kerana keluarga berpendapatan sederhana mungkin cuma lebih baik sedikit berbanding keluarga berpendapatan rendah.

Bagaimanapun, Soo Cheng berpendapat, RMT tidak perlu diperluaskan kepada semua pelajar kerana mereka dari keluarga berada mungkin membawa makanan sendiri dari rumah dan memilih tidak mengambil makanan di bawah RMT, sekali gus menyebabkan pembaziran.

“Berkenaan cadangan supaya pelajar mengambil sarapan secara bersama, ini boleh dilakukan dalam sekolah bersaiz kecil, tetapi sukar untuk sekolah besar.

“Jika sekolah mempunyai lebih 1,000 murid, maka pengusaha kantin perlu menyediakan makanan sangat awal dan keadaan juga menjadi sesak jika mahu semua murid makan secara serentak, ” katanya kepada China Press.

Soo Cheng berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof bahawa pihak kementerian akan meneruskan RMT, malahan memperluaskannya kepada semua lapisan pelajar.

Dalam pada itu, Soo Cheng juga berharap pihak berkuasa untuk menyelaraskan masa penghantaran susu percuma untuk murid di sekolah bersaiz besar.

Jelasnya, susu percuma itu biasanya dihantar setiap tiga bulan, tetapi jumlah yang banyak menyebabkan pihak sekolah berdepan masalah kekurangan tempat untuk menyimpan. – MalaysiaGazette