Hanifah Hajar Taib

KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Hanifah Hajar Taib tidak sempat mengundi ketika proses pemilihan Yang di-Pertua Dewan Rakyat berlangsung pagi tadi.

Pemimpin utama GPS yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan, faktor kesihatan menjadi punca Hanifah Hajar yang juga Timbalan Menteri Ekonomi hadir lewat ke Dewan Rakyat.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Mukah itu sempat melakukan upacara angkat sumpah ahli parlimen yang berlangsung pagi tadi.

Bekas Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul terpilih sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat bagi Parlimen Kelima Belas.

Beliau mendapat 147 undi selepas pengundian dijalankan pagi ini.

Johari menewaskan Ahli Parlimen Kangar Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad bagi jawatan tersebut yang hanya mendapat 74 undi.

Jumlah keseluruhan undi terhadap jawatan itu adalah 221 undi berbanding jumlah keseluruhan ahli Parlimen seramai 222 orang.- MalaysiaGazette