Keadaan Sekolah Kebangsaan (SK) Tiong, Kota Bharu dan jalan Pasir Tumboh - Wakaf Che Yeh ditenggelami air.

KOTA BHARU – Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 9,511 orang sehingga jam 1 tengah hari ini berbanding 6,826 orang pada jam 11 pagi tadi.

Menurut Info Banjir Kelantan, sebanyak 80 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka iaitu Tanah Merah 17 PPS, Kota Bharu (16), Kuala Krai (15), Machang (sembilan), Pasir Puteh (lapan), Pasir Mas (enam), Tumpat (empat), Jeli (tiga) dan Bachok (dua).

Paling ramai mangsa dipindahkan setakat ini di jajahan Kuala Krai iaitu 1,956 orang melibatkan 514 keluarga, diikuti Kota Bharu (1,505), Tanah Merah (1,327), Pasir Mas (1,135), Tumpat (1,128), Pasir Puteh (1,070), Machang (832), Jeli 371 dan Bachok (187).

Paras air ditempat menyukat banjir di Sungai Kelantan juga menunjukkan trend semakin naik dan melepasi paras bahaya di Sungai Lebir, Tualang, Kuala Krai iaitu 39.42 meter sehingga jam 1.30 tengah hari ini.

Sebelum ini, pada jam 11.30 pagi tadi, paras air di Sungai Lebir, Tualang hanya 38.92 meter. Paras bahaya ialah 35 meter.

Tempat sukatan banjir bagi Tangga Krai di Kuala Krai pula telah melepasi paras bahaya iaitu 25.20 meter berbanding paras amaran pada jam 11.30 pagi iaitu 24.98 meter. Paras bahaya ialah 25 meter.

Paras air di Tambatan Diraja, Kota Bharu masih di paras berjaga-jaga iaitu naik 0.16 meter kepada 3.45 meter berbanding jam 11.30 pagi 3.29 meter.

Keadaan air di Kampung Jenob, Sungai Golok juga menunjukkan semakin naik dengan parasnya melepasi tahap bahaya iaitu 25.12 meter, berbanding jam 11.30 pagi tadi 24.58 meter (bahaya 23.50 meter).

Rantau Panjang juga naik melepasi bahaya iaitu 10.71 meter berbanding 10.63 meter dua jam lalu dan dan Kuala Jambu yang semakin naik kepada 3.01 meter. – MalaysiaGazette